fb fb fb fb fb

Projek bina laluan alternatif Terowong Menora dijangka dilaksana tahun ini

LENGGONG, 20 Ogos- Projek pembinaan laluan alternatif Terowong Menora yang diluluskan kerajaan, dijangka dilaksanakan tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu dimaklumkan Pengerusi Eksukitif West Ipoh Span Expressway (WISE), Tan Sri Borhan Dolah ketika pertemuan mereka baru-baru ini.

WISE merupakan syarikat konsesi yang dilantik untuk melaksanakan pembinaan jalan tersebut membabitkan laluan sepanjang 64 kilometer bermula dari susur keluar Gopeng melalui Siputeh sebelum keluar di Kuala Kangsar.

"Secara kebetulan saya dapat berjumpa dengan Pengerusi WISE, Tan Sri Borhan Dollah, beliau memaklumkan ia akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi. Jadi, ini sudah tentu berkaitan dengan perkara teknikal maka kos dikendalikan oleh kementerian. Secara perjanjiannya pada tahun ini, sebelum hujung tahun," kata Saarani kepada pemberita RTM selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara peringkat daerah di Dataran Lenggong.

Kerajaan sebelum ini meluluskan cadangan pembinaan jalan pintas itu sebagai laluan alternatif kepada kenderaan supaya tidak melalui Terowong Menora di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Mengulas mengenai cadangan pembinaan litar "drag" oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di setiap negeri, beliau berkata kerajaan negeri menyambut baik usaha berkenaan.

Perkara tersebut akan diperhalusi dalam mesyuarat exco untuk menentukan lokasi yang sesuai bagi pembinaan tersebut.


(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad)

Media Baharu