fb fb fb fb fb

"KEMAS, salah satu kisah kejayaan kerajaan" - PM

BERA, 20 Ogos- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bukan sahaja berperanan sebagai pusat pendidikan awal kanak-kanak tetapi juga merupakan antara kisah kejayaan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ramai bekas pelajar Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dan Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) menjadi pemimpin dan mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka hasil didikan awal diberikan KEMAS.

“KEMAS merupakan salah satu cerita kejayaan kerajaan. Ramai dalam kalangan yang berjaya hari ini, ada yang bergelar pemimpin, sebahagian besarnya mendapat pendidikan awal daripada KEMAS terutama masyarakat luar bandar.

Oleh sebab itu, kerajaan sentiasa menyokong KEMAS. Di Bera, saya mengambil pendirian sejak dari mula menjadi Ahli Parlimen Bera menjadi pendidikan agenda utama bukan di peringat KEMAS tapi di peringkat sekolah dan sebagainya," kata Ismail ketika berucap merasmikan Program Jom Masuk Kampung dan Hari Potensi KEMAS Parlimen Bera di padang awam FELDA Triang 3, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerja Raya dan Kemudahan Asas Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohammad Yasid Bidin.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempat meluangkan masa bersama
anak-anak yang terlibat sukan futsal sempena Hari Potensi KEMAS Parlimen Bera)

Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM140 juta bagi Program Bantuan Makanan Tambahan (PBMT) untuk kanak-kanak di TABIKA dan TASKA di seluruh negara.

Program itu memberi manfaat kepada 225,281 kanak-kanak di TABIKA dan 9,716 kanak-kanak di TASKA kendalian KEMAS.

Mengulas mengenai program Jom Masuk Kampung yang dilaksanakan KEMAS, beliau menjelaskan, program ini mampu meningkatkan kefahaman rakyat mengenai dasar dan kejayaan dicapai kerajaan.

Penganjuran program ini katanya, diharap dapat membantu memberikan maklumat tepat kepada rakyat.

 

Media Baharu