fb fb fb fb fb

Program Ziarah Mahabbah, lestari falsafah Ummatan Wahidah

Foto RTM

TRANG, 27 April- Delegasi Program Ziarah Mahabbah 2024 edisi ke-9 diketuai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menjelajah ke Wilayah Phang Nga dan Phuket, Thailand bermula semalam sehingga esok.

Turut berangkat pada program berkenaan adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor, program kali ini hasil kolaborasi strategik antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur, Kolej Universiti Islam Perlis (KUlPs), Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Phang Nga dan Phuket, Thailand.

Pelaksanaan program itu pada kali ini adalah bagi melestarikan falsafah Ummatan Wahidah melalui perkongsian pintar dalam pelbagai bidang membabitkan kemajuan agama Islam, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan demi manfaat umat Islam.

Pelaksanaan itu juga sejajar dengan falsafah Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia- Thailand (Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT).

Pelbagai pengisian aktiviti dan program telah dirancang sempena Program Ziarah Mahabbah pada kali ini antaranya kunjungan hormat dan lawatan silaturahim ke pejabat Gabenor dan Datuk Bandar Wilayah Phang Nga, Thailand.

Selain itu, Majlis Menghadap Raja Muda Perlis bersama wakil enam Wilayah Andaman secara bersama menerusi program berkenaan, sesi libat urus Pengurusan Perkahwinan juga turut dirancang melibatkan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil MAIPs dan enam Majlis Agama Islam Wilayah Andaman.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan bagi menyampaikan sumbangan aktiviti dakwah dan kemayarakatan buat kariah Masjid Adnan, Trang sebanyak RM3,000.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM