fb fb fb fb fb

Program Parallel Pathway, KKM kekal keputusan pinda Akta Perubatan 1971

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

HULU SELANGOR, 27 April - Kementerian Kesihatan (KKM) kekal dengan keputusan untuk meminda Akta Perubatan 1971 (Akta 50) bagi menangani jurang antara Program Parallel Pathway (PPP) dan Program Sarjana Perubatan tempatan biarpun mendapat bantahan sesetengah pihak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata hasil sesi libat urus menyeluruh dilakukan KKM bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapati terdapat keperluan untuk melakukan pindaan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga telah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara berkaitan aspek perundangan.

“Siapa sahaja boleh beri pendapat, tetapi kita kena laksanakan dan teruskan dengan apa yang telah kita tetapkan bersama dengan merujuk kepada Peguam Negara, kita ambil serius pandangan dan bimbingan serta cadangan mereka," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Kuala Kubu Baharu (KKB) di sini, pada Jumaat.

Awal bulan ini, Dzulkefly berkata KKM akan mengangkat cadangan kepada Jemaah Menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada Jun dalam usaha memastikan pakar perubatan yang telah menamatkan latihan mereka di bawah PPP akan didaftarkan dan diiktiraf.

Namun perkara itu tidak dipersetujui Kumpulan Profesor Kesihatan dan Perubatan dengan Ketuanya, Profesor Dr Noor Hassim Ismail berkata jurang antara PPP dan Program Sarjana Perubatan tempatan boleh diselesaikan tanpa perlu meminda Akta 50.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN