fb fb fb fb fb

LISC 2024: Penyertaan dari 11 negara, manfaat pelancongan

Foto RTM

LABUAN, 27 April- Lebih 2,000 peserta membabitkan 11 negara termasuk peserta Malaysia menyertai 18 acara Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2024 yang berlangsung sehingga Ahad ini.
 
Majlis pelancaran program itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.
 
LISC 2024 memasuki penganjuran tahun ke-26, merupakan salah satu daya tarikan sukan pelancongan yang boleh dibanggakan selain memberikan limpahan ekonomi dan sosioekonomi kepada penduduk di wilayah tersebut.
 
Tambahnya, usaha mempromosi keunikan produk Labuan perlu digerakkan secara holistik.
 
"Tanggungjawab mempromosi pulau ini tidak terletak pada agensi kerajaan semata-mata, namun penduduk di wilayah ini perlu bersama-sama mempromosikan keistimewaan yang dimiliki oleh Labuan sebagai sebuah pulau tropika," kata Dr. Zaliha dalam ucapannya merasmikan Penganjuran LISC 2024 dan Minggu Perpaduan Negara peringkat Labuan di perkarangan Arena Boling Padang Labuan.
 
Justeru, beliau meminta pihak Perbadanan Labuan menyediakan ruang bagi peserta dan orang awam untuk memberikan maklum balas dari segi aduan, komen mahupun kritikan bagi tujuan penambahbaikan dan peningkatan kualiti penganjuran acara itu pada masa hadapan.
 
Secara keseluruhan, penganjuran LISC 2024 menawarkan hadiah keseluruhan membabitkan lebih RM200,000 bagi kesemua acara yang dipertandingkan.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM