
KUALA LUMPUR, 26 November – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap lebih banyak program berunsur wacana dianjurkan bagi memberi pencerahan dan merungkai kekeliruan selain mencetuskan percambahan idea serta menyuburkan budaya dialog yang matang dan terbuka.
- Kematangan demokrasi diukur melalui kesediaan pemimpin mendengar, menjawab dan menerima teguran rakyat dengan penuh tanggungjawab.
- Dialog memberi ruang kerajaan memperjelas dasar dan keputusan, serta menyelami keresahan, harapan dan aspirasi rakyat.
- Perbincangan merangkumi isu pembangunan bandar, kesihatan, pendidikan, rasuah, kebebasan mahasiswa dan PRU16.
Beliau berkata kematangan demokrasi sesebuah negara turut diukur pada kesediaan pemimpinnya untuk mendengar, menjawab dan menerima teguran rakyat dengan penuh keinsafan serta rasa tanggungjawab.
“Alhamdulillah, berkesempatan menjawab pelbagai persoalan yang dikemukakan oleh moderator dan barisan panelis yang mewakili pelbagai segmen masyarakat dalam Dialog Negara Khas: ‘Di Sebalik Keputusan…’ yang disiarkan menerusi semua saluran media tempatan malam tadi.
“Wadah ini memberi ruang untuk saya memperjelas dasar, pertimbangan dan keputusan Kerajaan MADANI dalam mengemudi negara, di samping menyelami keresahan, harapan dan aspirasi rakyat,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.
Program Dialog Negara Khas: “Di Sebalik Keputusan…” yang disiarkan menerusi RTM dan saluran media tempatan pada 9 malam tadi menampilkan barisan panelis mewakili pelbagai segmen masyarakat yang mengemukakan persoalan berkaitan dasar, pertimbangan serta keputusan kerajaan kepada Perdana Menteri.
Antara isu yang disentuh pada sesi berkenaan ialah jaminan hak penduduk asal dalam pembangunan semula bandar, perkhidmatan kesihatan awam, pendidikan kesihatan mental di sekolah serta cadangan penubuhan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Turut dibincangkan usaha membanteras rasuah, kebebasan bersuara mahasiswa, penempatan penjawat awam dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). -BERNAMA