KANGAR, 13 Mei- Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dijadikan pilihan utama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pengajian, bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.
Usaha itu selari dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam TVET, menjelang hujung tahun ini.
Bagi tujuan itu, Pengerusi Geraknita Alumni 4B Negeri Perlis, Rozieana Ahmad berkata, pihaknya akan turun ke kawasan kampung bagi mendekati golongan muda itu.
Tujuannya, memberi kesedaran kepada pelajar dan ibu bapa mereka mengenai masa depan serta bidang kemahiran yang boleh diterokai serta mengelak persepsi TVET sebagai pilihan kedua.
"Banyak peluang sebenarnya untuk TVET. Kita mahu semua generasi muda tidak melepaskan peluang menceburi bidang kemahiran yang disediakan kolej.
"Program TVET boleh memupuk minat seterusnya menjana pendapatan kepada mereka" katanya.
Beliau menyatakannya pada Program Taklimat dan Peluang Pendidikan Bersama Kolej Profesional dan Pengurusan KLIA di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kangar di sini.
Program tersebut memberi peluang kepada lepasan SPM mendapatkan maklumat berkaitan kursus ditawarkan.
Ia meliputi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pengurusan Penerbangan dan Pentadbiran Perniagaan dengan pelbagai kemudahan disediakan termasuk penempatan pekerjaan.