fb fb fb fb fb

UMNO perlu pragmatik depani arus perubahan

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Mei- UMNO mesti bersifat pragmatik dalam mendepani arus perubahan zaman yang kian mencabar.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu perlu lebih berani menyusun strategi, pendekatan dan gerak kerja selari dengan realiti politik yang baharu.

"Kita harus mengakui satu hakikat bahawa UMNO tidak boleh statik. Tidak boleh lagi bergantung pada pendekatan lapuk dalam mendepani kedinamikan landskap politik, justeru UMNO mesti pragmatik.

"Dua kali Pilihan Raya Umum, menunjukkan keputusan tidak memihak kepada mana-mana parti sehingga menyebabkan situasi politik tergantung, seakan-akan menahan nafas negara di persimpangan," ujar beliau ketika menyampaikan Amanat Presiden pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-79, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Agung, Datuk Dr. Asyraf Wajdi.

Melihat ketidaktentuan situasi politik tanah air pasca Pilihan Raya Umum ke-15, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid memberitahu, UMNO perlu bersepakat dengan parti-parti lain untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Dengan jiwa yang besar dan tanggungjawab nasional yang tinggi, UMNO memilih langkah kenegaraan untuk bersama membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Langkah ini dibuat bukan untuk mengejar kepentingan sempit tetapi demi memastikan hak Melayu dan Bumiputera, institusi Raja-raja Melayu dan Islam terus terbela, Bahasa Melayu juga terus dimartabatkan.

"Paling penting, menyelamatkan negara daripada belenggu politik tidak berkesudahan," ujar beliau.

Sebelum sambutan bermula, tahlil khas diadakan bagi memperingati jasa dan pengorbanan Perdana Menteri kelima, Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia pada 14 April lalu.

Tumpuan turut terarah kepada Majlis Konvokesyen Sekolah Patriotik UMNO (SUP) melibatkan 48 anak muda sebagai usaha mengasah bakat sekali gus menjadi generasi pemimpin UMNO pada masa akan datang.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello