fb fb fb fb fb

Pemandu lelaki tersepit antara dua lori tampil beri keterangan

Foto media sosial

ISKANDAR PUTERI, 11 Mei - Seorang lelaki yang memandu secara melawan arus sehingga kenderaannya tersepit antara dua lori di Kilometer 4, Jalan Gelang Patah–Ulu Choh di sini, tampil memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan memaklumkan, pihaknya kini sedang mengesan dua pemandu lori yang terlibat dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berusia 26 tahun itu memandu secara melawan arus sejauh kira-kira 500 meter selepas tersalah lorong ketika ingin ke sebuah stesen minyak berhampiran.

Tambah beliau, suspek turut melanggar sebuah kereta lain sebelum kenderaannya tersepit di antara dua lori.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Terdahulu, video insiden berdurasi 21 saat tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE