KOTA KINABALU, 11 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kini di Sabah untuk lawatan kerja sehari ke negeri berkenaan.
Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 10.35 pagi tadi, dengan disambut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor serta menteri-menteri kabinet negeri.
Datuk Seri Anwar kemudian dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Selepas pertemuan itu, Perdana Menteri akan berlepas ke Tawau bagi merasmikan Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 peringkat negeri Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Beliau turut dijadual melakukan Penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah dan melancarkan Program Solar MADANI.
Selepas itu, Datuk Seri Anwar dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor akan melakukan tinjauan mesra bagi melihat sendiri perkhidmatan disediakan agensi serta jabatan Persekutuan pada program berkenaan.