fb fb fb fb fb

Program TVET KPLB perlu selari dengan kehendak industri

PADANG TERAP, 16 Januari - Institusi pendidikan yang menyediakan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) perlu menyusun semula kursus yang ditawarkan agar selari dengan perkembangan sektor industri.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program TVET yang ditawarkan juga perlu dapat memastikan pelajar lulusannya mendapat jaminan pekerjaan.

"Dalam TVET ni ada banyak bidang. Ada tiga peringkat persijilan, diploma dan ijazah tetapi yang dia buat tu selari dengan industri yang ada. Contohnya minyak dan gas ada dalam TVET UniKL, boleh ke tidak memenuhi keperluan industri?

"Bila kita cakap pasal automotif yang ada di dalam industri tu jenis mekanik yang macam mana yang diperlukan dalam industri automotif, kereta-kereta moden sekarang ini sudah guna hibrid. Ada yang pakai separuh petrol separuh bateri dan akan datang ini adalah EV kereta-kereta elektrik," kata Mahdzir dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Baucer Persekolahan 2022 Parlimen Padang Terap di sini hari ini.

Jelas Mahdzir, walaupun kebolehpasaran lulusan TVET KPLB ketika ini pada tahap 88 peratus, angka itu boleh ditingkatkan jika semua kursus yang ditawarkan memenuhi kehendak industri.

"Sekarang kita sudah ada (kerjasama) dengan pemain industri, cumanya kalau kita ambil pelajar misalnya 40 orang pelajar, adakah pelajar itu mendapat kerja atau tidak?

"Kita tidak mahu mereka yang lulus diploma TVET misalnya tetapi tidak mendapat kerja kerana tidak selari dengan industri."

Tambah beliau, antara bidang kursus yang perlu dikaji semula untuk memenuhi keperluan industri ialah bidang perkapalan, kejuruteraan rel keretapi, automotif, minyak dan gas, serta fesyen.

"Dalam Amanat (Tahun Baharu 2022 KPLB) semalam saya sebut bahawa kita perlu duduk semula semua agensi (pendidikan TVET) untuk koordinasi.

"Kita tidak perlu buat benda yang sama, semua kolej buat benda yang sama, kursus yang sama di dalam KPLB," jelas Mahdzir.

 

 

Media Baharu