KUALA LUMPUR, 16 Januari - Banjir di Segamat, Johor semakin reda dengan hanya dua lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi, menempatkan 24 keluarga.
Di Sibu Sarawak, PPS Dewan Kampung Jeriah mulai kosong kerana penduduk kembali pulang ke kediaman masing-masing setelah bermalam di pusat pemindahan sejak empat hari lalu.
Air sudah pun surut dan hanya menenggelami sebahagian kecil jalan raya.
Dalam pada itu, Pelan Induk Pengurusan Sistem Perparitan akan dibincang bagi mengenal pasti punca banjir dan tindakan bagi menanganinya.
Pascabanjir di Muar Johor menyaksikan 200 sukarelawan Kementerian Belia dan Sukan turun padang membantu penduduk di tiga kampung.
Bantuan meliputi agihan keperluan harian dan membersihkan rumah penduduk.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kemudahan sukan yang rosak turut dibersihkan dan dibaiki untuk kemudahan masyarakat setempat.
Di Bentong Pahang, UMNO Kedah menghantar bantuan barangan keperluan dan makanan.
Tiga lori penuh muatan barangan diedar kepada penduduk terjejas sejak Khamis lalu.
Selain bergotong royong membersihkan kawasan dipenuhi lumpur, kerja pembaikan sistem pendawaian elektrik yang rosak jadi tumpuan.
Di Melaka, Persatuan OKU Sentral tidak ketinggalan, sama aktif membantu penduduk.
Bantuan disampaikan berupa barangan keperluan asas hasil sumbangan pelbagai pihak dengan nilai keseluruhan RM200,000.
Sumbangan diserahkan oleh Presidennya Datuk Ras Adiba Radzi kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.