BENTONG, 28 September- Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas untuk wanita dikenali sebagai JELITA, diharap menjadi perintis buat golongan itu ke arah memperkasa ekonomi kaum hawa melalui pengembangan bakat, kemahiran, ketrampilan dan pengetahuan.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Program JELITA mampu meningkatkan martabat wanita di negara ini.
Program Jelita menyasarkan peserta di seluruh negara termasuk kawasan pinggir desa bagi melahirkan lebih ramai wanita yang berkerjaya, professional dan berdaya saing.
"Ada pemantauan yang dilaksanakan dan sekarang ini ada rundingan antara universiti terlibat dengan industri bagi membolehkan sasaran pelatih mencari pekerjaan yang sepadan tercapai.
"Sekiranya mereka menjadi usahawan apa yang kita harapkan adalah terdapat peningkatan dari segi pendapatan selepas menghadiri kursus dikendalikan RISDA bawah TVET JELITA ini dan kerajaan sebenarnya sangat prihatin dengan menawarkan kursus ini secara percuma,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyantuni kaum wanita dalam program bersama Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) di Kampung Semerting, Pelangai, Pahang.
(Datuk Seri Dr Noraini Ahmad ditemui pemberita selepas menghadiri program bersama
Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) di Kampung Semerting, Pelangai)
(Datuk Seri Dr Noraini Ahmad turut serta mengacau dodol dalam program bersama
Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) di Kampung Semerting, Pelangai)