(Operasi Khas Motosikal JPJ Kelantan di Machang, Kelantan)
MACHANG, 28 September- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita 422 kenderaan menerusi Operasi Khas Motosikal sejak 1 September hingga semalam.
Timbalan Pengarahnya, Nazili Kadir berkata, daripada jumlah itu, motosikal merupakan kenderaan yang paling banyak disita oleh pihaknya.
Beliau berkata, kebanyakan kenderaan tersebut digunakan oleh etnik Rohingya yang disewa daripada orang tempatan bagi memudahkan pergerakan seharian mereka.
Katanya, sitaan dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pemilik agar tidak bersekongkol memberi sewa kenderaan kepada warga asing demi mengaut keuntungan.
Ujarnya, walaupun keadaan masih terkawal, namun menyewakan kenderaan kepada warga asing tanpa lesen akan menyukarkan proses tuntutan insuran sekiranya mereka terlibat dengan kemalangan.
"Berdasarkan pemeriksaan yang kita lakukan sekitar kira-kira 14,000 buah kenderaan, 422 buah kita sita.
"Daripada jumlah itu, 115 buah kenderaan yang disita membabitkan pemandu warga asing. Walaupun jumlahnya terkawal, tetapi kalau tiada tindakan diambil angka itu dikhuatiri akan meningkat,"katanya.
Beliau berkata demikian pada Operasi Khas Motosikal JPJ Kelantan di Stesen Timbang JPJ Labok, Machang, malam tadi.
Beliau berkata, sepanjang operasi itu sebanyak 14,163 kenderaan telah diperiksa oleh JPJ Kelantan.
Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak 5,015 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.
(Timbalan Pengarah JPJ Kelantan, Nazili Kadir)