fb fb fb fb fb

Budaya fitnah gugat kestabilan, keharmonian negara- Agong

(Al- Sultan Abdullah berkenan berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1445H 
di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini)

PUTRAJAYA, 28 September- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam di negara ini agar mengambil iktibar kejatuhan tamadun dan kuasa besar dunia akibat dominasi budaya fitnah.

Titah baginda, perkataan yang kurang elok sama ada ketika berbicara mahupun menulis di media sosial, boleh mengugat kestabilan dan keharmonian negara. 

"Demikian hebat hakikat fitnah dan tipu daya yang bukan sahaja telah menumpahkan darah seorang pemimpin Islam yang agung. Malahan telah turut menghancurkan keharmonian dan kestabilan sebuah negara.

"Kerana itu Allah SWT mengingatkan seluruh umat Islam untuk menghindari, serta menjauhi orang-orang yang tidak bercakap benar sebagaimana yang difirmankan dalam surah Al-Qalam ayat ke-10; 'Janganlah kami ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela yang sana ke mari menghembur fitnah'," titah baginda.

Justeru, titah Al-Sultan Abdullah, akhlak warisan Rasullah SAW perlu dicontohi seluruh rakyat di negara ini.

"Justeru bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada thaun ini, beta ingin menyeru kepada seluruh rakyat beta untuk bersama mencontohi akhlak warisan maknawi Rasullah SAW yang amat bernilai dan istimewa.

"Marilah kita terapkan akhlak mulia dalam pertuturan dengan menutur bicara kebenaran, bersikap jujur, serta menjauhi fitnah, kata-kata dusta dan pembohongan," titah baginda lagi.

Al- Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1445 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut berkenan hadir, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama dalam majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Terdahulu sebanyak 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta berarak sejauh 1.1 kilometer dari Jambatan Seri Gemilang Putrajaya ke PICC.

Ia diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar.

"Daripada pelbagai kementerian jabatan, agensi-agensi beruniform dan lain-lain, jadi jumlah keseluruhan yang akan berarak sekitar 3,285 orang semua lelaki, dalam masa yang sama untuk yang wanita pula diorang ini ada majlis berasingan, ada majlis ceramah yang mereka sertai. Jadi kalau kita jangkakan dalam 6,000 peserta yang akan menyertai majlis Maulidur Rasul 2023 ini," katanya.


(Datuk Dr Mohd Naim mengetuai 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta berarak
sejauh 1.1 kilometer dari Jambatan Seri Gemilang Putrajaya ke PICC sempena sambutan Maulidur Rasul 2023)

 

Media Baharu