SHAH ALAM, 17 Julai- Universiti Teknologi MARA (UiTM) melancarkan Program Transformasi Kemenjadian Pelajar Kokurikulum bagi melahirkan graduan holistik dan berkemahiran tinggi selaras keperluan industri semasa, khususnya dalam bidang teknologi dan AI.
Program anjuran Pusat Kokurikulum dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) itu menyasarkan penyertaan 6,000 pelajar tahun akhir dalam tempoh tiga tahun, dengan nilai pelaksanaan keseluruhan mencecah RM30 juta.
Ia merupakan kesinambungan inisiatif terdahulu yang melibatkan pelaburan RM7.5 juta dalam program Certified System Analyst on AI.
Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam kenyataan berkata program hasil inspirasi beliau itu bertujuan memperkasa pelajar kokurikulum khususnya Komander Kesatria, agar bersedia mendepani cabaran landskap pekerjaan masa depan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, mengetuai pelaksanaan program dengan sokongan geran perundingan diketuai Datuk Dr. Hasrol Jono bersama pasukan akademik terdiri daripada Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi, Profesor Madya Ts. Dr. Basharudin Abdul Hadi dan Profesor Madya Dr. Alwi Mohd Yunus.
Antara komponen utama ialah AWS re/Start, melibatkan latihan 'cloud computing', simulasi industri, bimbingan kerjaya dan peperiksaan AWS Certified Cloud Practitioner yang diiktiraf global.
Program berkenaan dilaksanakan bersama World Education Placement Services (WEPS) dan IEG Campus, dengan pembiayaan daripada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.
UiTM menegaskan komitmen untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah kompeten, berdaya saing serta memiliki nilai jati diri dalam era teknologi yang dinamik.