fb fb fb fb fb

Program Tingkatan Enam UA, tarik lebih 5,000 permohonan

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 2 September - Seramai 5,537 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah membuat permohonan kemasukan ke Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam.

Daripada jumlah itu, seramai 3,519 orang memohon kemasukan ke bidang Sains manakala 2,018 orang memohon untuk mengikuti bidang Sains Sosial.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sejumlah 269 pelajar telah ditawarkan mengikuti Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam.

"Pelaksanaan Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam dapat menyediakan ruang pembelajaran di universiti kepada pelajar yang terlibat.

"KPM akan menggiatkan promosi kepada umum bagi membolehkan pelajar dan ibu bapa mendapat maklumat tentang Program Pendidikan Tingkatan Enam Kampus Universiti Awam bagi ambilan tahun 2026 akan datang," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Sivaraj Chandran berhubung status Program Kolej Tingkatan Enam Premier di dua universiti awam, termasuk jumlah pendaftaran, sambutan pelajar serta ibu bapa dan cadangan perluasan ke universiti lain jika berkesan.

Tambahnya, seramai 126 orang pelajar masing-masing 73 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan 53 di Universiti Sains Malaysia (USM), telah menerima tawaran setakat 31 Julai lalu.

Sementara itu katanya, program berkenaan dilaksanakan dengan memperkenalkan syarat kemasukan yang ketat bagi melahirkan pelajar berkemahiran berfikir aras tinggi selain bersedia menghadapi cabaran teknologi digital dan ekonomi global.

 

Trainee