fb fb fb fb fb

MARA sedia pertimbang peluasan penempatan warden tentera ke semua MRSM

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ditemui media selepas merasmikan Kuala Lumpur International Summit on Sustainable Future (KLSF 2025)

KUALA LUMPUR, 2 September – Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedia mempertimbangkan peluasan penempatan warden dalam kalangan bekas anggota tentera ke semua 57 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekiranya projek rintis yang sedang dilaksanakan menunjukkan hasil positif.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketika ini projek berkenaan dijalankan di MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang dan MRSM Besut, Terengganu, dengan tempoh percubaan selama enam bulan.

“Setakat ini perkembangannya positif, namun masih terlalu awal untuk saya mengulas. Biarlah cukup tempoh enam bulan terlebih dahulu, selepas itu saya akan kongsikan dapatan daripada pihak ketiga iaitu UPM,” katanya.

Menurut beliau, hasil kajian itu akan menjadi asas kepada keputusan sama ada pendekatan menempatkan warden sepenuh masa dalam kalangan pesara anggota beruniform wajar diperluaskan.

Katanya lagi, pelantikan warden dibuat melalui tapisan ketat dengan berpandukan garis panduan jelas mengenai skop kerja mereka bagi memastikan keberkesanan menangani isu disiplin termasuk kes buli.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kuala Lumpur International Summit on Sustainable Future (KLSF 2025) yang berlangsung dua hari bermula hari ini di ibu negara.

Persidangan itu menghimpunkan pembuat dasar, industri, NGO dan akademik dalam memperkasa agenda 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selain membincangkan penyelesaian cabaran kelestarian global serta kerjasama inklusif demi masa depan mampan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE