KUALA LUMPUR, 18 Januari - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan membuka bidaan kuota tambahan 2,000MWac bagi program Solar Berskala Besar-Peralihan Tenaga SuRiA Tambahan (LSS@PETRA+) bermula 20 Januari ini.
PETRA menerusi kenyataan memaklumkan, bidaan ini akan dilaksanakan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan loji jana kuasa dijangka mula beroperasi pada 2027.
Inisiatif ini bertujuan menyokong peralihan tenaga negara dan meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu.
"Pakej A akan melibatkan pembangunan loji jana kuasa solar atas permukaan tanah dengan kapasiti antara 30MWac hingga 500MWac, dengan jumlah kuota sebanyak 1,500MWac.
"Sementara itu, Pakej B akan memberi fokus kepada pembangunan loji jana kuasa solar terapung dan atas permukaan air dengan kapasiti antara 10MWac hingga 500MWac, menawarkan kuota sebanyak 500MWac," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Tambah PETRA, kelulusan kapasiti tambahan di bawah LSS@PETRA+ ini dijangka menjana pelaburan sebanyak RM8 bilion serta mencipta 12,000 peluang pekerjaan dalam sektor tenaga boleh baharu (TBB).
Katanya, inisiatif ini adalah sebahagian daripada agenda peralihan tenaga negara untuk memenuhi permintaan terhadap tenaga elektrik hijau dalam sistem pembekalan elektrik.
PETRA turut menyatakan bahawa program ini akan menyumbang kepada usaha negara mencapai campuran kapasiti TBB sebanyak 70 peratus menjelang 2050.
"Program ini bukan sahaja menyokong aspirasi peralihan tenaga negara tetapi juga komitmen PETRA untuk mengurangkan jejak karbon dalam sektor bekalan elektrik," tambahnya.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my.