LANGKAWI, 18 Januari- Malaysia dan Thailand menekankan kepentingan kerjasama dalam menangani isu-isu mendesak di peringkat serantau dan global.
Ini termasuk pemerdagangan manusia serta perpaduan ASEAN.
Perkara itu ditekankan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Maris Sangiampongsa di luar Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi.
Beliau menegaskan ASEAN berpotensi untuk memacu perubahan bermakna dalam persekitaran global yang semakin kompleks.
"Kami akan membincangkan perkara itu, esok. Hari ini, hanya pertemuan dua hala dan menyentuh mengenai bagaimana untuk memperkukuh keluarga ASEAN dengan cabaran geopolitik yang melanda dunia kini. Sebab itu, kami memilih keterangkuman dan kemampanan menjadi tema utama kami tahun ini", katanya.
Dalam pada itu, Malaysia dan Thailand juga akan terus bekerjasama bagi menangani penipuan dalam talian. Ini termasuk aktiviti rentas sempadan yang semakin membimbangkan.
Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa berkata, satu tindakan kukuh akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Mohamad di luar Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi, Kedah.