fb fb fb fb fb

Gencatan senjata: Malaysia disaran terajui pemulihan Gaza

Gencatan senjata Gaza dimeterai termasuk membebaskan tahanan rakyat Palestin selepas lebih 460 serangan tanpa henti Zionis Israel/Foto fail AFP

KUALA LUMPUR, 18 Januari - Perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang bermula Ahad ini dijangka membuka peluang baharu untuk rakyat Palestin memulihkan kehidupan mereka, menurut Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub.

Beliau berkata, gencatan senjata ini membolehkan rakyat Palestin kembali ke kediaman mereka dan membina semula komuniti yang terkesan akibat pembunuhan beramai-ramai oleh Zionis Israel sejak 7 Oktober tahun lalu.

"Malaysia perlu mengetuai usaha pembangunan semula Gaza kerana negara kini berada pada kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN.

"Tambahan pula, dunia menghormati kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperjuangkan nasib penduduk Gaza dan Palestin secara keseluruhan," katanya ketika dihubungi Berita RTM.

Beliau turut mencadangkan agar Malaysia bekerjasama rapat dengan negara seperti Mesir yang mempunyai akses sempadan ke Gaza bagi melancarkan penyampaian bantuan, terutama dengan musim sejuk yang bakal tiba.

"Malaysia boleh menggembleng bantuan dana dan membangunkan pelbagai fasiliti di Gaza melalui kerjasama dengan negara-negara yang mempunyai hubungan baik dengan kita," tambah beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa perlu memainkan peranan sebagai pemantau untuk memastikan rejim Israel tidak mencabuli perjanjian tersebut.

Ini sekali gus membantu meredakan ketegangan di rantau itu yang disifatkan sebagai salah satu krisis kemanusiaan terburuk dalam dunia moden.

GRACE AISYAH KEDAYAN