fb fb fb fb fb

Selangor sasar seragam syarat operasi Taska, pusat jagaan

Foto FB Exco

RAWANG, 18 Januari- Satu Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pusat Jagaan termasuk Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) ditubuhkan Selangor bagi memudahkan kelulusan pendaftaran oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata jawatankuasa tersebut dipengerusikan ADUN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze yang akan meneliti dan menambah baik garis panduan pembukaan atau pendaftaran pusat jagaan termasuk warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

Pihaknya mengakui bahawa ramai pengusaha taska berdepan kesulitan ekoran syarat kelulusan di 12 PBT dalam negeri adalah berbeza.

"Itu sebab kita wujudkan jawatankuasa khas untuk penambahbaikan pusat jagaan itu. Setiap 12 PBT mempunyai syarat kelulusan yang berbeza. Jadi, kita mahu permudah serta ia perlu diseragamkan meski setiap PBT itu bergantung faktor demografi atau sebagainya.

Kita bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang turut bersama dalam jawatankuasa tersebut. PBT lain turut kita jemput juga. Kita perhalusi dan sasaran penyeragaman itu selesai menjelang Julai ini," kata Anfaal kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan BSK FreshMart, di sini.

Pada majlis itu juga, beliau turut menyampaikan bantuan Bakul Rahmah kepada golongan memerlukan.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri telah meluncurkan Geran Pusat Jagaan (GPJ) dengan dana geran bernilai RM400,000 Selasa lalu.

Menurutnya, permohonan geran itu mendapat sambutan dengan setiap pengusaha taska atau pusat jagaan sama ada syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memohon, maksimum RM5,000 bagi satu operator dan geran.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM