TAWAU, 11 Mei- Kerajaan MADANI memperuntukkan lebih RM350 juta bagi melaksana Program SOLAR MADANI melibatkan pemasangan dan penyelenggaraan lampu jalan kampung demi keselamatan rakyat, terutama di kawasan pedalaman.
Program SOLAR MADANI dilancar dengan projek rintis di Tawau, Sabah melibatkan 40 tiang lampu solar, hasil kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan penglibatan komuniti setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu menjimatkan kos, menggunakan tenaga hijau dan menggalakkan komuniti menjaga kemudahan demi manfaat bersama.
"Jadi sebab itu hari ini, kita lancarkan program untuk seluruh negara tapi bermula di Sabah. Di Sabah, bermula di Tawau iaitu SOLAR MADANI yang menerangkan kampung dan kawasan rumah Sabah dan seluruh Malaysia, insya-Allah," katanya.
Peruntukan tersebut diumumkan pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Sabah, di sini.
Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi menambah baik kedai dan gerai kecil di seluruh negeri itu di bawah Projek Siap Tamu Sabah.
"Kita dah beri peruntukan RM10 juta. Jadi, maknanya bukan untuk bina restoran besar, bukan juga untuk buat warung-warung besar tapi nak sediakan bumbung yang agak baik supaya ibu-ibu boleh berniaga tanpa terik cuaca panas," katanya.