TAWAU, 11 Mei – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mencatatkan kutipan tertinggi saman trafik berjumlah RM341,000 dalam tempoh dua hari sempena Program Madani Rakyat (PMR) 2025 yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Dalam Negeri Ainah Mohd Soon berkata, rekod kutipan itu melibatkan sebanyak 2,799 saman yang dijelaskan menerusi penawaran diskaun 50 peratus dengan tiga kaedah pembayaran iaitu tunai, e-pembayaran dan baucar.
“Hari pertama kita terima kutipan saman sebanyak RM150,000, manakala hari kedua meningkat kepada RM180,000, menjadikan jumlah keseluruhan dua hari sebanyak RM341,000 untuk saman sahaja.
“Kita beri peluang kepada masyarakat khususnya dari Tawau, Semporna dan Lahad Datu untuk hadir dan jelaskan saman masing-masing. Hari ini sahaja, sebanyak 1,400 saman berjaya dikutip,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Rerai Kementerian Dalam Negeri yang dibuka sempena Program Madani Rakyat 2025 di Dataran Majlis PerbandaranTawau hari ini.
Jelasnya, kutipan saman itu turut disumbang oleh kehadiran masyarakat dari Tawau, Semporna dan Lahad Datu yang merebut peluang menyelesaikan saman pada kadar diskaun.