TAWAU, 10 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Tawau bagi merasmikan Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau.
Beliau menaiki pesawat khas pada pukul 1.30 tengah hari tadi.
Ketibaan Datuk Seri Anwar disambut oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, bersama barisan kepimpinan negeri.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 12.45 tengah hari selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu.
Ketibaan beliau di Kota Kinabalu disambut oleh Hajiji serta anggota Kabinet negeri.
Pada majlis penutupan PMR 2025 Sabah itu, perdana menteri menyempurnakan Penyerahan Projek Siap Tamu Desa Sabah, menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Usahawan Sabah, serta melancarkan Program Solar MADANI.
Selepas itu, Datuk Seri Anwar dan Hajiji akan melakukan tinjauan mesra bagi melihat sendiri perkhidmatan yang disediakan agensi dan jabatan Persekutuan sepanjang program tiga hari yang bermula pada 9 Mei lalu.