KUALA LUMPUR, 11 Mei- Seluruh ahli dan pimpinan UMNO perlu menghentikan budaya syak wasangka dan sebaliknya bangkit memperkukuh kepercayaan serta kesepaduan antara satu sama lain.
Gesaan tersebut dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
"Masih ada di antara kita yang hatinya diselemuti keraguan. Masih ada yang terbuai dalam alunan sentimen dan bisikan.
"Saya mohon kepada seluruh ahli dan pimpinan UMNO, berhentilah menanam syak wasangka, bangkitlah memperteguh kepercayaan dalam kalangan kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Presiden pada Sambutan Hari UMNO ke-79, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut meminta ahli UMNO untuk meyakini setiap keputusan dibuat pucuk pimpinan adalah berdasarkan musyawarah.
"Segala keputusan besar yang diambil bukan berdiri atas satu bahu semata-mata. Ia lahir daripada musyawarah secara kolektif, daripada jiwa kepimpinan yang memikirkan untung nasib parti ini.
"Setiap keputusan pasti mendatangkan cabaran, pasti ada yang tercalar, pasti ada tercela tetapi percayalah selagi hayat dikandung badan, keutamaan parti tidak akan kami robekkan, maruah perjuangan tidak akan kami khianati selagi kepercayaan kalian yang sahabat-sahabat semua berikan kepada kami," jelasnya lagi.
Beliau turut menggariskan tiga wasilah politik UMNO bagi mendepani cabaran realiti politik yang baharu iaitu politik solusi, politik legasi dan politik moderasi.