fb fb fb fb fb

KPT saran IPTA, IPTS mohon program APEL

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman/BERNAMA

BANGI, 11 Mei- Universiti awam (UA) dan swasta digalakkan untuk memohon Program Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL), dalam menawarkan peluang menyambung pengajian di peringkat tinggi.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, program APEL membuka ruang kepada individu yang mempunyai pengalaman kerja atau kemahiran untuk menyambung pengajian tanpa bergantung sepenuhnya kepada kelayakan akademik formal.

Tambahnya, program tersebut antara usaha bagi menangani isu keciciran pendidikan khususnya dalam kalangan kumpulan B40.

“Ramai golongan dewasa, khususnya mereka seusia saya, tidak berpeluang melanjutkan pelajaran tetapi ada pengalaman kerja bertahun-tahun.

Jadi, APEL memberi laluan kepada mereka untuk diiktiraf dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat diploma, ijazah malah sarjana," jelasnya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Tengah II Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pelancaran Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning - APEL) UKM, di sini, hari ini.

Dr. Azlinda turut memaklumkan bahawa UKM kini telah menerima status rasmi pelaksanaan APEL menyertai IPT lain dalam menawarkan pelbagai kategori seperti APEL A (Akses Ke PPT), C (Pindah Kredit) dan Q (Penganugerahan Kelayakan) serta S (Kemahiran) yang akan diperkenal Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) hujung tahun ini.

Dalam pada itu, karnival yang berlangsung selama dua hari di UKM menarik lebih 50,000 pengunjung secara fizikal dan hampir 1.3 juta akses dalam talian di seluruh negara.

Ini sekali gus mencerminkan sambutan hangat rakyat terhadap inisiatif yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM