(Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman bercakap pada sidang media
selepas majlis pelancaran menuai padi musim 1/2023 Smart SBBA LZNK di Kampung
Padang Lumat, Yan)
YAN, 16 Januari - Sebanyak 542 tan hasil tuaian pertama padi musim 1/2023 berjaya dilaksanakan menerusi program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di empat daerah di negeri Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman berkata berdasarkan kejayaan projek sulung itu yang melibatkan 69 peserta, pihaknya yakin peserta dapat keluar dari garis kemiskinan dalam tempoh tiga tahun.
Melalui program itu, peserta dianggarkan memperoleh pendapatan RM1,800 hingga RM2,800 sebulan.
"Kita akan nilai setiap dua musim sampailah mereka ini keluar asnaf, garis kemiskinan yang diwujudkan yang kita bagi had sampai keluarga ini had mereka selesa, saya ingat seorang tak lebih tiga tahun satu musim," kata beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran menuai padi musim 1/2023 Smart SBBA LZNK di Kampung Padang Lumat, di sini.
(Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Syeikh Zakaria Othman dan Setiausaha Kerajaan Negeri
Kedah, Datuk Norizan Khazali meninjau program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA)
Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Kampung Padang Lumat, Yan)
Program tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali.
Sejumlah 32 peserta SBBA di Batu 16 dan 17 Padang Lumat itu turut menjalankan aktiviti penternakan ikan puyu dan itik sebagai pendapatan tambahan.
Bagi peserta bantuan yang diberikan LZNK dari proses mula penanaman sehingga khidmat nasihat membantu meningkatkan taraf hidup.
Kebanyakan peserta sebelum ini bekerja sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.