KANGAR, 16 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bagi membangunkan Perlis menerusi pelbagai projek di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Ini berikutan Perlis dilihat agak ketinggalan berbanding pembangunan negeri-negeri lain.
Mesyuarat NCIA akan berlangsung di Perlis dan ia dijangka selepas pembentangan Bajet 2023 bagi memuktamadkan beberapa projek pembangunan di Perlis.
Selain itu, beliau turut meminta agar kerajaan negeri menggunakan kesempatan pada mesyuarat yang bakal berlangsung supaya jentera kerajaan negeri dan pusat dapat bersama-sama mengenal pasti potensi setiap projek yang akan dilaksanakan.
"Ekonomi Perlis dilihat lebih malap berbanding negeri lain, adalah tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk memberikan kesempatan supaya ekonomi negeri itu meningkat dan lebih kukuh," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata komitmen kerajaan persekutuan membantu membangunkan ekonomi Perlis disambut baik.
Mohd Shukri berharap pertimbangan serta kelulusan kerajaan Persekutuan dalam menjayakan projek berimpak tinggi yang dirancang menjadi kenyataan.
(Foto BERNAMA)