KUALA LUMPUR, 16 Januari- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar peraturan kawalan harga yang ditetapkan sempena Tahun Baru Cina yang berkuatkuasa semalam sehingga 29 Januari ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub menegaskan, pemain industri seperti pasar raya perlu memainkan peranan bagi memastikan tiada berlakunya perlanggaran peraturan.
"Saya sebenarnya tidak suka untuk mengulas tentang amaran, tetapi pemain-pemain industri yang besar seperti pasar raya ini, mereka boleh menjadi contoh kepada pemain-pemain yang lain dengan tidak melanggar peraturan-peraturan yang telah kita tetapkan.
(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,
Datuk Seri Salahuddin Ayub)
"Kalau ada perlanggaran, kita perlu mengambil tindakan walaupun itu bukan pilihan yang baik. Itu bukan bermakna KPDN bertolak ansur segala pelanggaran. Saya menasihatkan semua mengikut peraturan dan semua dapat keuntungan", katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Program Lawatan Kos Sara Hidup Sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 di sebuah pusat beli belah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam.
Berdasarkan tinjauan dilakukan, beliau berpuas hati dengan beberapa barangan kerana dijual di bawah paras harga kawalan.