fb fb fb fb fb

Program Semarak Subuh dilaksana serentak di seluruh Johor

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Al-Mustaqim, Ulu Benut, Simpang Renggam /FOTO RTM

KLUANG, 5 Januari - Program Semarak Subuh Johor dijalankan serentak di semua masjid dan surau pagi ini melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri, DUN negeri itu.

Inisiatif itu melibatkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh Johor pada setiap subuh Jumaat sepanjang tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, program berkenaan menggalakkan lebih ramai bangsa Johor beragama Islam ke masjid dan surau untuk menunaikan solat subuh.

“Sebagai seorang pemimpin Islam, saya sedar bahawa kejayaan menuju akhirat sangat penting.

“Justeru, sebagai pemimpin saya hendak memastikan lebih ramai bangsa Johor beragama Islam merapatkan diri ke masjid kerana solat berjemaah adalah kekuatan kita sebagai umat Islam,” katanya ketika berucap selepas selesai menunaikan Solat Subuh berjemaah.

Beliau menunaikan solat subuh berjemaah di Masjid Al-Mustaqim, Ulu Benut, Simpang Renggam di sini yang dihadiri kira-kira 200 jemaah.

Program itu dilaksanakan bagi membolehkan ADUN beragama Islam menunaikan solat subuh jemaah di masjid atau surau manakala bagi ADUN wanita dan bukan Islam, boleh menghantar wakil daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN masing-masing.

Pada pembentangan belanjawan Johor tahun lalu, Datuk Onn Hafiz memperuntukkan RM560,000 bagi menjayakan 2,688 Program Semarak Subuh Johor di semua 56 DUN negeri itu sepanjang tahun ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD