fb fb fb fb fb

KPKT tidak pernah keluarkan lesen perniagaan kepada PATI

FOTO HIASAN/FOTO RTM

BUKIT MERTAJAM, 5 Januari - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, (KPKT) menegaskan tidak pernah mengeluarkan lesen kepada pendatang tanpa izin untuk menjalankan sebarang perniagaan seperti membuka gerai atau kedai.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata kerajaan sentiasa konsisten menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat tempatan.

Tindakan undang-undang sentiasa diambil terhadap warga asing yang melanggar peraturan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung lambakan gerai warga asing sehingga menjejaskan peniaga tempatan di kebanyakan lokasi di seluruh negara yang turut menimbulkan kegusaran penduduk tempatan.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kementerian telah memperkenalkan pertandingan reka bentuk secara terbuka bagi pembinaan semula semua projek pasar awam yang berskala besar di seluruh negara.

"Dan tahun ini saya dengan sukacita mengumumkan KPKT akan menyediakan RM110 juta dana khas untuk menaiktaraf pasar-pasar awam diseluruh negara dan kita harap mulai hari ini mana-mana pembinaan semula pasar awam baru yang berskala besar seperti Kompleks Pasar Bukit Mertajam akan mengamalkan modus operandi yang sama iaitu kita akan buat pertandingan secara terbuka", katanya demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Pasar Awam Bukit Mertajam yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) pada Khamis.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD