fb fb fb fb fb

Program repatriasi migran dalam proses dilanjut

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

KULIM, 15 Mac - Jabatan Imigresen (JIM) dalam proses untuk melanjutkan Program Repatriasi Migran yang dijadualkan tamat pada 31 Mac ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jabatan berkenaan sedang mendapatkan persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk melaksanakan pendekatan kompaun kepada pendatang tanpa izin berbanding pendakwaan.

“Jadi ini alternatif yang kita ambil supaya mereka (pendatang tanpa izin) mendapat pilihan yang lebih manusiawi, mereka boleh balik (ke negara asal) untuk sambut Aidilfitri.

“Mereka bayar kompaun dan kita hantar balik. Jadi sekarang ini program semasa akan tamat pada 31 Mac, kita ke arah melanjutkannya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar bersama Menteri Dalam Negeri di Masjid Kampung Permatang Tok Dik di sini, malam tadi.

Saifuddin Nasution berkata di bawah program itu, warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen hanya perlu tampilkan diri dan membayar kompaun sebelum dihantar pulang.

“Kalau mereka berada di sini, kalau pasukan penguat kuasa imigresen buat operasi, mereka ditangkap dan akan berakhir di depoh… masuk tanpa dokumen, salah guna pas lawatan dan tinggal lebih masa semuanya kesalahan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Beliau berkata tahun lepas, kerajaan berjaya mengutip bayaran kompaun sebanyak RM120 juta melalui Program Repatriasi Migran. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF