fb fb fb fb fb

Program Rasa-Rasa Akuakultur, promosi hasil laut dwicengkerang selamat dimakan

Datuk Dr Muhamad Akmal pada Program Rasa-Rasa Akuakultur, Promosi Makan Kupang dan Kerang di Pasar Tani Merlimau di sini hari ini.

JASIN, 29 September- Program Rasa-Rasa Akuakultur akan dilaksanakan di setiap daerah di Melaka untuk mempromosi produk akuakultur khususnya hasil laut dwicengkerang.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pihaknya menerusi Jabatan Perikanan negeri giat mempromosi kupang dan kerang dari Melaka yang kini selamat dimakan selepas larangan penuaian dan penjualannya telah ditarik awal bulan lepas berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.

Katanya ia juga sebagai usaha membantu meningkatkan hasil jualan penternak dwicengkerang di negeri itu.

“Kupang yang dipromosikan merupakan hasil akuakultur dari perairan Melaka iaitu di Sebatu dan ia lebih dikenali sebagai ‘kupang manis’ di samping hasil kerang juga adalah menerusi program yang kita jalankan bersama nelayan.

“Kajian yang dilakukan mendapati kupang di kawasan berkenaan adalah paling sedap dan manis, malah permintaan terhadap hasil akuakultur itu sangat tinggi sebelum isu pencemaran biotoksin berlaku,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Rasa-Rasa Akuakultur, Promosi Makan Kupang dan Kerang yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib di Pasar Tani Merlimau di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata permintaan terhadap kupang dan kerang di perairan tersebut dijangka pulih dan meningkat dalam masa terdekat.

Terdahulu, beliau berkata sebanyak 120 kilogram (kg) kerang dan 100 kg kupang yang dimasak dalam pelbagai hidangan seperti kerang kukus, kerang bakar, kupang kukus serta kuetiau kerang telah diagihkan kepada kira-kira 2,000 pengunjung.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI