Program Rakan Taman perkukuh kerjasama komuniti, pelihara alam sekitar

Majlis Perasmian Program Rakan Taman di Taman Awam Bukit Lagi

KANGAR, 4 Julai – Lebih 300 peserta menjayakan Program Rakan Taman, satu inisiatif untuk memberi ruang kepada masyarakat untuk menjadi rakan strategik kepada pihak berkuasa tempatan dalam menjaga, memelihara dan menghidupkan taman-taman awam melalui semangat kesukarelawanan dan rasa tanggungjawab bersama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menekankan penanaman pokok, pembudayaan kebun komuniti, pemeliharaan alam sekitar dan menghidupkan taman sebagai pusat interaksi masyarakat.
  • Program akan diperluas ke lebih banyak taman di Perlis bagi memperkukuh pembangunan bandar hijau, mampan dan berdaya huni.
  • Kejayaan bergantung kepada penglibatan komuniti, institusi, badan korporat dan sukarelawan; penanaman simbolik serta Geran Komuniti RM10,000 disalurkan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar, Affendi Rajini Kanth berkata, program tersebut bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti gotong-royong, malah turut memberi penekanan kepada program penanaman pokok, pembudayaan kebun komuniti, pemeliharaan alam sekitar dan menghidupkan fungsi taman sebagai pusat interaksi masyarakat.

Inisiatif berkenaan akan terus diperluas ke lebih banyak taman awam di seluruh Perlis dan dapat menjadi contoh amalan terbaik kepada semua pihak yang menguruskan taman awam dan rekreasi di Negeri Perlis.

“Program seperti ini dapat menyediakan kemudahan yang selesa, menyemarakkan budaya sihat dalam kalangan rakyat Negeri Perlis, sekaligus, menyumbang kepada pengukuhan Negeri Perlis sebagai Negeri Hijau dan destinasi pelancongan utama negara.

“Kejayaan sesebuah program tidak hanya bergantung kepada peruntukan kewangan atau dasar yang dirangka semata-mata, tetapi, bergantung juga kepada kesediaan rakyat untuk bersama sama menjayakannya.

”Atas sebab itulah, saya menyeru agar lebih ramai komuniti, persatuan penduduk, institusi pengajian tinggi, badan korporat dan pertubuhan sukarela tampil menyertai Program Rakan Taman ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program Rakan Taman di Taman Awam Bukit Lagi di sini.

Program Rakan Taman merupakan kesinambungan kepada pelbagai usaha yang telah dan sedang dilaksanakan pihak MPK bersama pelbagai pihak di Perlis bagi memperkukuh agenda pembangunan bandar yang hijau, mampan dan berdaya huni.

Bersempena program itu, kira-kira 100 anak pokok bunga kertas ditanam sebagai simbolik pelaksanaan Program Rakan Taman, selain penyerahan Geran Komuniti berjumlah RM10,000.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.