fb fb fb fb fb

Program Radio RTM bakal tampilkan 52 tema budaya berbeza

Foto hiasan

LABUAN, 1 November - Program Radio RTM 'Silang Budaya 2026' bakal menampilkan 52 tema budaya berbeza, libatkan kolaborasi semua 34 stesen seluruh negara bagi mempromosi kandungan tempatan ke peringkat nasional selaras sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Pengarah Bahagian Program Radio Saifuzzaman Yusop berkata, ia dilihat sebagai medium meraikan kepelbagaian, memperkukuh perpaduan menerusi empat rangka utama program.

Empat rangka utama itu ialah Perkukuh Perpaduan, Kandungan Budaya Aset Digital Nasional, Hab Rujukan Budaya Digital ASEAN serta galak Kolaborasi RTM dan Komuniti.

"Kita berusaha memperkenalkan pelancongan dalam negara yang merangkumi aspek seni, warisan, budaya dan sejarah agar kandungan tersebut tidak hanya tertumpu di satu stesen atau negeri sahaja, tetapi dapat dikongsi kepada seluruh rakyat Malaysia. Inilah khazanah, inilah pelancongan, inilah seni dan budaya yang menjadi kebanggaan kita bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja Konsert Hiburan Tanpa Henti (HTH) di sini.
 
Jelasnya, DJ radio negeri akan membawakan topik tempatan di stesen radio lain untuk dikongsikan bersama pendengar menerusi siaran Stesen Berkembar.
 
Penganjuran Konsert HTH bertema ‘Legasi X Generasi’, merupakan tanda penghargaan LABUANfm kepada pendengar yang sentiasa memberi sokongan kepada stesen tempatan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI