PORT DICKSON, 1 November - Lebih 6,000 pengunjung membanjiri Pantai Batu Satu sempena Sambutan Hari Kelestarian Alam Negeri Sembilan (HKANS) 2025 yang berlangsung meriah hari ini.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, program berkenaan menyatukan pelbagai sambutan bertema alam sekitar seperti Hari Alam Sekitar Negara, Hari Sungai Sedunia, Hari Hutan Antarabangsa dan World Cleanup Day di bawah satu platform bersepadu.
Menurutnya, kerajaan negeri komited memperkukuh agenda kelestarian menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan strategi oleh jabatan serta agensi berkaitan.
Beliau turut menyeru masyarakat menjadikan pemuliharaan alam sekitar sebagai budaya hidup, bukan sekadar kempen bermusim.
“Berkaitan dengan pemeliharaan sungai sebagai nadi kehidupan, saya menyeru semua pihak agar bersama-sama memelihara sungai, selari dengan tema Hari Sungai Sedunia 2025 ‘Waterways in Our Communities’.
Negeri Sembilan mempunyai 3,769.8 kilometer sungai, 492 anak sungai serta 160 kolam takungan banjir, yang perlu dipelihara demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Perasmian Hari Kelestarian Alam Negeri Sembilan (HKANS) 2025 di Pantai Batu Satu, Port Dickson.
Dalam pada itu, Veerapan memaklumkan, tiga kawasan baharu telah dikenal pasti oleh Jabatan Mineral dan Geosains yang berpotensi meningkatkan rizab sumber mineral negeri sebagai sebahagian usaha pembangunan sumber bumi secara mampan.