fb fb fb fb fb

Balai Bomba Rantau Panjang dipindah ke lokasi baharu elak risiko banjir

FOTO RTM

TUMPAT, 1 November - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta di bawah Rolling Plan pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memindahkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang ke lokasi baharu yang lebih strategik dan selamat daripada risiko banjir.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nordin Pauzi, berkata peruntukan berkenaan akan digunakan bermula tahun hadapan bagi tujuan perolehan tanah, kajian kesesuaian serta rawatan tapak.

Katanya, Rantau Panjang merupakan antara kawasan hotspot banjir dan langkah pemindahan itu penting bagi memastikan kelancaran operasi menyelamat penduduk yang terjejas ketika bencana.

“Tahun depan di bawah RMK13 Rolling Plan pertama, kita akan mulakan proses mendapatkan tanah baharu. Kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk pindah ke lokasi lebih baik. Lokasi telah dikenal pasti dan insya-Allah proses lanjut akan diteruskan kerana prinsip utama kita ialah balai bomba mesti berada di lokasi paling selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat BBP Pengkalan Kubor, di sini, sempena Hari Pengujian dan Pemeriksaan Logistik Operasi Banjir (MTL Log Day) hari ini.

Mengulas lanjut, Nordin menjelaskan lokasi sedia ada balai itu sering terjejas akibat banjir setiap tahun, selain berdepan laluan utama yang terputus sehingga menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat ke kawasan sekitar.

Bagaimanapun, katanya, JBPM mengekalkan tahap kesiapsiagaan sepenuhnya di balai berkenaan bagi memastikan perkhidmatan tidak terganggu sepanjang musim tengkujuh yang dijangka bermula pada bila-bila masa.

Pihaknya turut mengarahkan agar semua aset, jentera serta bilik kawalan utama ditempatkan di kawasan tinggi sekiranya paras air meningkat.

Tambah beliau, pemilihan lokasi baharu akan mengambil kira faktor akses ke jalan utama, keselamatan dan kesesuaian geografi selaras dengan piawaian pembinaan balai bomba di seluruh negara.

Selain Rantau Panjang, JBPM sebelum ini turut melaksanakan langkah sama dengan memindahkan BBP Beaufort, Sabah ke kawasan lebih tinggi bagi mengelak risiko banjir berulang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE