PORT DICKSON, 13 Julai - Seramai 1,000 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima manfaat menerusi Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET) tahun ini.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, PUVET yang dilaksana melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang berperanan sebagai pemudah cara dan penghubung untuk mengenal pasti serta menyalurkan insentif keusahawanan merangkumi khidmat kepakaran, fasiliti, geran dan latihan.
"Kita sasarkan pada tahun ini ada 1,000 usahawan veteran yang akan kita bantu melalui program sokongan ini, dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Ini antara program memperkasa veteran kita, dengan harapan agar sokongan ini terus dapat memberi pengetahuan berhubung kemahiran dan teknik sekali gus menjayakan program ini untuk veteran ATM," kata Adly kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM).
(Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga
merangkap Menteri KKDW membincangkan kerjasama berhubung program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET))
Ujarnya, seramai 1,000 usahawan veteran ATM di seluruh negara telah dikenal pasti untuk terlibat dalam pelaksanaan projek rintis itu.
Tambahnya, PERHEBAT di Negeri Sembilan sedang memantau 1,201 veteran yang tamat latihan peralihan dalam tempoh lima tahun dari tahun 2018 hingga 2022 dan seramai 253 terlibat dalam bidang perniagaan.
Seramai lima orang usahawan veteran ATM telah terpilih untuk menerima padanan geran bernilai RM5,000 menerusi inisiatif Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) oleh KKDW.
Sementara itu, usahawan veteran ATM yang ditemui turut berterima kasih dengan geran bantuan yang diterima.
"Syukur ahamdulillah saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan kepada pihak PERHEBAT, Majlis Amanah Rakyat (MARA). Bila dapat geran bantuan macam ini, dapatlah saya baik pulih dan tambah baik lagi kedai saya," kata Norsyaifulnizam Md Noor kepada pemberita RTM.
"Saya berterima kasih kepada pihak PERHEBAT dengan KDKW dan MARA memberi peluang kepada anggota veteran untuk terima sumbangan geran ini. Saya pun tidak sangka sebab saya ingatkan selalu fokus untuk yang berpencen tapi dapat panggilan yang menyatakan saya terpilih, disenarai pendek. Saya ucap terima kasihlah, dapat keputusan saya layak terima geran. Alhamdulillah, syukur," luah Ahmad Safuan Mohamad Kamsa kepada pemberita RTM.
"Saya ucap berbanyak terima kasih kepada KKDW dan PERHEBAT. Saya amat bersyukur dengan rezeki ini lah," jelas Mohamad Sofian Mahmood.