BATU CAVES, 21 Oktober- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membantu asnaf keluar dari kepompong kemiskinan melalui program pertanian bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar berkata, para peserta dilatih secara teori dan amali untuk menjadi usahawan pertanian di atas sebidang tanah berkeluasan 5 ekar, milik MAIWP.

"Kita hendak latih asnaf ini supaya mereka keluar dari kepompong kemiskinan sehinggalah satu masa tu mereka boleh keluar pula jadi pembayar zakat. Jadi bukan setakat hendak keluarkan mereka dari kepompong kemiskinan, tetapi hendak jadikan mereka ini contoh usahawan yang berjaya dan bila mereka ini jadi usahawan yang berjaya, mereka boleh bantu pula rakan-rakan yang berada dalam status asnaf. Ini matlamat, ini hasrat", katanya.
Ketika ini,seramai 10 orang peserta dalam kalangan penerima bantuan bulanan MAIWP telah dibimbing selama dua tahun dan turut menerima elaun bulanan sebanyak RM1,700 sebulan.
Menurut Datuk Naim, hasil semaian pertama telah dimulakan dengan tapak seluas 2 ekar dan berjaya memperoleh sebanyak 11.6 kilo tan cili dengan keuntungan bersih sebanyak RM20,000.
Selain penanaman cili, para usahawan asnaf ini juga turut menanam tanaman terung, cendawan, cili dan turut menternak ikan keli.
Berdasarkan kejayaan ini, Agrobank telah bersetuju menjalankan kerjasama melibatkan penggunaan dana wakalah, zakat serta i-tekad dibawah program Hijrah Asnaf.
Untuk peringkat yang kedua ini, para peserta akan diberi peluang mengusahakan tiga ekar lagi tanah MAIWP dengan penanaman cili yang dianggarkan mampu memberi pulangan sebanyak RM2,700 sebulan kepada peserta.
Justeru, inisiatif ini diharap mampu mengubah status sosioekonomi golongan asnaf.