KUALA LUMPUR, 27 Mac- Bagi memastikan murid sekolah rendah menguasai literasi dan numerasi, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya ialah Program Pemulihan Khas.
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, guru pemulihan dengan kerjasama guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik memberi bimbingan yang bersesuaian kepada murid yang terjejas semasa pandemik COVID-19 dalam aspek penguasaan kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira (3M).
"Selain itu, KPM juga mengadakan Program Bantu Baca bagi semua murid sekolah rendah memperkukuhkan kemahiran membaca.
"Program ini dilaksanakan secara kolaboratif melibatkan pelatih Institut Pendidikan Guru yang menjalani latihan praktikum di sekolah, pelajar matrikulasi dan murid sekolah berasrama penuh dengan kerjasama komuniti setempat.
"KPM juga memugarkan semula pelaksanaan Program Bimbingan 3M (PROBIM) bagi murid sekolah menengah (kelas peralihan hingga Tingkatan 5) supaya murid dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira sebelum menamatkan persekolahan," katanya.
(Timbalan Menteri Pendidikan / Lim Hui Ying)
Tambahnya lagi, KPM telah memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi (PLaN) untuk memastikan murid menguasai sekurang-kurangnya tahap minimum.
Selain itu, PLaN juga menyediakan bahan bantu belajar murid serta item pentaksiran untuk menyokong pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Lim Hui Ying menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas.