LABUAN, 14 Julai – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) terus komited menangani isu beban berganda malpemakanan (BBM) dalam kalangan kanak-kanak, khususnya melibatkan masalah kurang berat badan, bantut, susut dan obesiti.
Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemakanan seimbang.
Ia termasuk penganjuran program pendidikan dan penyediaan makanan sihat sebanyak tiga kali setahun di seluruh negara.
"Inisiatif ini bukan sahaja memberi fokus kepada ibu bapa, malah guru dan pendidik turut digalakkan menyediakan makanan secara kreatif bagi menarik minat kanak-kanak untuk mencuba hidangan sihat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapa pada majlis merasmikan Bengkel Pengurusan dan Pentadbiran Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan serta Sambutan Hari Guru Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan, di sini.
Pendekatan holistik itu bertujuan menggalakkan pengambilan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekali gus menyokong perkembangan fizikal dan mental secara menyeluruh.
Hasil Tinjauan Kesihatan Mobiditi Kebangsaan 2022 mendapati masalah BBM dalam kalangan kanak-kanak masih membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak.
Sehingga Mac 2025, seramai 2,427 murid Tabika Perpaduan dikenal pasti mengalami masalah bantut dan bantut teruk.
Masalah sama turut dikesan ke atas 72 kanak-kanak di Taska Perpaduan.