KUALA LUMPUR, 14 Julai - Pengurangan waktu bekerja syif daripada 45 jam kepada 42 jam seminggu bagi lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dapat meringankan beban kerja, seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada pesakit.
Pegawai Perubatan Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Muhammad Shahril Amri Shaharani, 32 tahun, menyifatkan keputusan itu sebagai bukti komitmen kerajaan dalam menjaga kesejahteraan petugas kesihatan.
“Jika pekerja kesihatan bekerja lebih masa, ditambah pula dengan kekurangan staf, kerja menjadi tidak efektif dan fizikal serta mental petugas menjadi letih,” katanya.
Dr Muhammad Shahril berkata pengurangan waktu bekerja juga lebih berkesan sekiranya bilangan kakitangan ditambah untuk mengurangkan beban kerja sedia ada.
Menyokong pandangan itu, Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Ampang Muhammad Yusri Kamarudin, 26 tahun, berkata langkah ini membantu menyeimbangkan antara tanggungjawab kerja dan kehidupan peribadi.
“Ia dapat memberi sedikit masa kepada kami untuk berehat selepas syif kerja yang biasanya memang tiada masa untuk makan, selain memberi peluang kepada kami menguruskan keluarga serta diri dalam keadaan lebih fleksibel,” katanya.
Sementara itu, Wan Nor Syahida, 28 tahun, jururawat di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang berkata beban kerja yang banyak dan tugasan dokumentasi sering menyebabkan mereka keletihan, namun pengurangan waktu bekerja membantu meringankan beban seterusnya meningkatkan kualiti perkhidmatan.
“Walaupun kerja jururawat hanya tujuh jam setiap syif, ramai terpaksa pulang lewat untuk selesaikan tugasan dan ditambah dengan dokumentasi yang banyak bagi setiap pesakit menyebabkan jururawat keletihan dari segi fizikal, mental serta emosi.
Jururawat HKL, Nora Hashim, 50 tahun, pula menyifatkan keputusan kerajaan itu adalah pengumuman yang telah lama dinantikan dan memberikan sinar kepada petugas kesihatan yang terlibat, sekali gus memberi ruang untuk berehat kepada diri sendiri serta bersama keluarga.
“Kami memang sudah biasa datang lebih awal untuk ambil alih laporan dan pulang lewat bagi serah tugas, kadang-kadang lewat lebih sejam. Jadi, keputusan ini mengurangkan tekanan serta membantu kami lebih fokus semasa rawatan,” katanya.
Pada 11 Julai, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan kerajaan bersetuju memberi pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam kepada jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di jabatan kecemasan, penolong pegawai perubatan serta pembantu perawatan kesihatan.
Menurut JPA, langkah berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI yang sentiasa mendengar suara rakyat dan menjaga kebajikan petugas kesihatan yang menjadi tunjang utama sistem kesihatan negara. - BERNAMA