KANGAR, 9 Disember - Seramai 120 warga emas berusia 70 tahun ke atas disantuni menerusi Program Peduli Rakyat di sini.
Program berkenaan menjadi usaha berkala bagi memantau selain pendekatan turun padang oleh wakil rakyat untuk menjengah kehidupan semasa serta mendalami permasalahan dihadapi penduduk di pelusuk kampung.
ADUN Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, tumpuan program kali ini adalah dikalangan warga emas di kawasan berkenaan dengan sumbangan barangan keperluan harian.
Selain itu, program sebegini juga menjadi platform penting menyantuni masyarakat pelbagai kaum, mengeratkan silaturahim juga memberi semangat dan motivasi kepada yang memerlukan agar tabah dan kuat menempuh dugaan walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan.
Ay Ling memaklumkannya pada Program Peduli Rakyat dengan menziarahi golongan warga emas sekitar Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan.
Program Peduli Rakyat Santuni Warga Emas menyasarkan seramai 200 penerima di kawasan DUN Indera Kayangan sehingga penghujung tahun ini menerusi sumbangan yang disalurkan Pusat Khidmat DUN dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin dengan keperluan masyarakat setempat.