fb fb fb fb fb

Agong berkenan persembah Darjah Kerabat Pahang kepada Sultan Johor

Foto facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU, 9 Disember- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mempersembahkan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (DK) kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam. 

Menerusi kenyataan Facebook Sultan Johor, Darjah Kerabat itu dipersembahkan dalam Istiadat yang berlangsung di Bilik Seri Maharaja, Istana Negara, Kuala Lumpur. 

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kemudian mempersembahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat itu turut disaksikan anakanda Seri Paduka, Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Kunjungan Sultan Johor ke atas Yang di-Pertuan Agong merupakan kesinambungan kunjungan kepada Raja-Raja Melayu sebagai adat berkunjung hormat bagi menjunjung kasih selepas selesai urusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Oktober lalu. 

ROSLINA BINTI DIN