fb fb fb fb fb

Program Mobiliti Pelajar ASEAN satukan 500 pelajar serantau

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian / Foto UUM

SINTOK, 18 Februari – Program Mobiliti Pelajar ASEAN yang bermula pada 11 hingga 18 Februari berjaya menyatukan lebih 500 pelajar dari 100 universiti di seluruh rantau ASEAN untuk mengikuti pelbagai aktiviti akademik, inovasi dan pendedahan silang budaya serantau.

Program yang pertama kali diadakan sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 dan berlangsungnya Pameran dan Forum Universiti Pelajar ASEAN 2025 (AEF2025) di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Selangor.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, program mobiliti peringkat ASEAN itu, dapat memupuk semangat kerjasama serantau, menggalakkan kecemerlangan akademik, memperkasa pendidikan tinggi dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab pendidikan global.

“UUM melalui Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC) telah diberi kepercayaan untuk menerajui Program Mobiliti Pelajar ASEAN sempena Pameran dan Forum Universiti Pelajar ASEAN 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 25 Februari ini.

“Program ini dirangka bagi mengukuhkan kerjasama pendidikan, memupuk kolaborasi akademik rentas sempadan dan memperkaya aktiviti pertukaran budaya dalam kalangan pelajar ASEAN yang selari dengan aspirasi integrasi serantau,” jelas Datuk Dr. Megat Sany.

Ia bermula secara rasmi pada 11 Februari lalu secara dalam talian menerusi aktiviti ASEAN Young Talent Speaker Contest yang merupakan pertandingan pengucapan awam fokus kepada perbincangan mengenai isu-isu kritikal berkaitan ASEAN.

Seterusnya, bermula 19 hingga 23 Februari, semua pelajar terlibat akan ditempatkan di 13 universiti di seluruh Malaysia bagi mendedahkan peserta kepada landskap pendidikan tinggi negara dan kepelbagaian budaya sambil mendalami aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDGs) melalui ASEAN Future Innovators Challenge.

Selain menyentuh program pelajar ASEAN, Datuk Dr. Megat Sany mahu UUM terus bergerak ke hadapan bagi memastikan universiti pengurusan ini kekal relevan dalam dunia pendidikan tinggi yang semakin kompetitif.

Beliau melihat usaha meletakkan UUM sebagai Top Business School di negara ini merupakan langkah strategik dan penjenamaan yang sesuai dengan fokus UUM di dalam bidang pengurusan atau pentadbiran dan perniagaan.

“UUM sudah dikenali sebagai universiti berasaskan pengurusan. Satu langkah yang baik jika dijenamakan UUM sebagai Top Business School kerana bakal pelajar di peringkat antarabangsa sedang mencari-cari universiti terkemuka dalam negara ini dalam kategori Top Business School.

“Dalam data terbaharu Education Malaysia Global Services (EMGS), peratusan tertinggi permohonan dari luar negara untuk menyambung pendidikan di Malaysia adalah bidang pentadbiran dan perniagaan. Universiti yang paling sesuai dikaitkan dengan pentadbiran dan perniagaan adalah UUM,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Pengasasan UUM ke-41 dan Majlis Penghargaan Petugas Majlis Konvokesyen ke-37.

Tahun lalu, UUM berjaya menduduki ranking 151-200 bagi QS Global MBA dan pada masa sama, program MBA di UUM adalah nombor satu terbaik dalam kalangan universiti di negara ini.

Bagi Business School Rankings, subjek Accounting & Finance UUM diiktiraf sebagai 200 Terbaik Dunia oleh QS World University Rankings dan THE World University Rankings.

Subjek Business & Economics UUM pula diiktiraf sebagai 200 terbaik dunia oleh THE World University Rankings dan 250 Terbaik Dunia oleh QS World University Rankings.

Dengan pencapaian sepanjang tahun 2024 itu, beliau yakin bahawa UUM mampu melonjak lebih tinggi pada masa hadapan hasil kerja keras semua warga universiti untuk menjadikan ia sebagai institusi unggul dalam bidang pengurusan dan perniagaan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD