SHAH ALAM, 18 Februari – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menzahirkan penghargaan terhadap pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, yang berjaya mencatat prestasi kewangan tertinggi dengan jumlah RM2.867 bilion pada tahun lalu.
Baginda bertitah, peningkatan turut dicatatkan dalam rizab negeri yang bertambah sebanyak RM517 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM4.131 bilion. Selain itu, Selangor turut mencapai kejayaan besar dalam menarik pelaburan sebanyak RM66.75 bilion, jauh melebihi sasaran awal RM50 bilion.
"Kerajaan Beta menyasarkan pelaburan sebanyak RM50 bilion, tetapi berjaya menarik sebanyak RM66.75 bilion, yang telah menawarkan sebanyak 50,222 peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Beta dalam sektor perkilangan, perkhidmatan, dan perusahaan utama," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Sidang Dewan Negeri Selangor Penggal Ketiga di Bangunan SUK, Shah Alam.
Baginda turut menegaskan kepentingan pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat serta menasihatkan wakil rakyat agar terus berkhidmat dengan fokus kepada kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu,Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menitahkan ahli Dewan Negeri Selangor agar memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai isu-isu yang penting bagi masa depan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Baginda bertitah, persidangan dewan negeri harus berlangsung dengan penuh berhemah, dan tidak dijadikan sebagai platform untuk menyebarkan fitnah atau berkelakuan tidak senonoh.
"Ahli Dewan Negeri Selangor harus memberikan fokus kepada perkara- perkara yang penting kepada masa hadapan Negeri dan rakyat Beta.
"Hindarilah sebarang tindakan yang kurang sopan atau membesarkan perkara yang remeh. Sidang Dewan Negeri Selangor harus berlangsung dengan penuh berhemah dan bukannya menjadi medan untuk menabur fitnah, caci-mencaci dan berperangai tidak senonoh.
"Rakyat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah-laku Wakil Rakyat yang mereka pilih", titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, mengingatkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk terus memperhebatkan usaha membanteras ajaran sesat yang menyeleweng di negeri ini.
Baginda, selaku ketua agama Islam, menekankan pentingnya peranan Jais dalam meningkatkan penganjuran program keagamaan bagi mengukuhkan akidah umat Islam mengikut pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pada masa sama, Baginda juga menitahkan agar Jais mengawasi dan memperbaiki sistem pengurusan sekolah tahfiz di negeri ini dengan mengambilkira aspek keselamatan yang diiktiraf, serta alat pencegah kebakaran yang diluluskan pihak bomba.