KULAI, 18 Februari- Seorang penunggang motosikal maut selepas gagal mengelak daripada melanggar belakang sebuah lori yang memasuki lorong kecemasan di Kilometer 24.6 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Tan Seng Lee dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 47 tahun terpaksa memasuki lorong kecemasan selepas tayar hadapan kenderaan itu pecah.
Motosikal ditunggang mangsa, lelaki berusia 30 tahun, yang berada di laluan sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori berkenaan.
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.