NAKHON SI THAMMARAT, 25 Februari – Aktiviti lawatan sukarelawan dan akademik global anjuran Persatuan Komunikasi, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) menjadi platform terbaik kepada 33 peserta mempraktikkan ilmu komunikasi dan berkhidmat kepada komuniti sasaran.
Pengarah Program Go-Thai’25, Muhammad Shafiq Junizuddin berkata, program selama 14 hari ke Thailand itu dilaksanakan secara maya dan fizikal turut mendedahkan mahasiswa Program Komunikasi kepada pemahaman silang budaya.
Program secara maya melibatkan perbincangan akademik peserta dengan rakan dari Thailand dan juga tertumpu kepada pelaksanaan aktiviti-aktiviti sepanjang berada di Thailand.
“Go-Thai’25 adalah program mobiliti tidak berkredit bagi memberi peluang kepada peserta mempraktikkan ilmu komunikasi yang dipelajari dalam bilik kuliah menerusi aktiviti-aktiviti seperti kesukarelawanan dan berkaitan budaya tempatan (Thailand). Antaranya, peserta membantu komuniti Islam di Nakhon Si Thammarat memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu mereka.
"Aktiviti ini selaras dengan semangat kesukarelawanan yang diterapkan dalam kalangan mahasiswa dan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk berbakti kepada komuniti. Bagi mendalami aspek budaya pula, peserta program ini diberi peluang mempelajari cara penyediaan makanan asli Thailand seperti Pad Thai dan tomyam bersama pelajar Fakulti Seni Kulinari Universiti Walailak,” menurut Muhammad Shafiq.
Seramai 180 pelajar Islam berusia 7 hingga 12 tahun, dari Nakhon Si Thammarat diberi pendedahan oleh peserta Go-Thai’25 kepada asas penguasaan Bahasa Melayu dan aktiviti tersebut mendapat sambutan baik daripada komuniti sasaran.
Mereka meminta aktiviti pengajaran Bahasa Melayu diteruskan kerana pelajar terbabit diberi kelas khas pada setiap hari Sabtu untuk mempelajari bahasa berkenaan.
Salah seorang peserta, Muhammad Daniel Hawazim berkata, secara peribadi, program Go-Thai’25 menjadi platform kepada dirinya untuk membentuk semangat kesukarelawanan dan menjadi insan yang sentiasa dapat menyumbang kepada komuniti.
Aktiviti yang dilakukan menurutnya, memberi pengalaman berharga dalam menyumbang bakti kepada masyarakat bukan hanya tempatan tetapi antarabangsa di samping mempraktikkan ilmu komunikasi di luar bilik kuliah dan mengasah kemahiran kepimpinan pelajar.
Bagi Nurnabilah Wahab pula, program ini menjadi titik mula kepada pembinaan rangkaian antarabangsa menerusi interaksi dengan pelajar Walailak University dan Rajabhat Phuket University.
“Saya sangat teruja dapat bertemu rakan-rakan baharu serantau dan kami berkongsi pelbagai idea mengenai bidang komunikasi dan bagaimana ia dapat dimanfaatkan dalam projek-projek kesukarelawanan berteraskan akademik dan budaya, sama ada di Malaysia atau Thailand. Peluang berbakti kepada komuniti di sini memberikan pengalaman antarabangsa yang lebih membuka minda saya untuk menyemarakkan semangat kesukarelawanan bukan hanya domestik tetapi di peringkat lebih jauh,” katanya.