KUCHING, 25 Februari- Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan LPKP sedia mendapatkan pandangan pemain industri bagi menambahbaik perkhidmatan itu.
LPKP menerusi satu kenyataan memaklumkan, satu sesi libat urus telah diadakan bagi mendapat maklum balas pemain industri terhadap penggubalan dasar pelesenan kenderaan perdagangan di Sarawak.
Sesi libat urus berkenaan dipengerusikan Pengerusi LPKP Sarawak Michael Kong Feng Nian di Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, semalam.
Ia bertujuan untuk membincang dan mendapatkan pandangan pemain industri mengenai penambahbaikan dasar pelesenan kenderaan perdagangan di Sarawak serta tindakan yang boleh diambil di atas kesalahan bawah Seksyen 25, Akta 334.
“Sesi libat urus ini turut membincangkan beberapa isu yang berkaitan dengan pergerakan kenderaan perdagangan Sarawak ke atau dari Sabah,” menurut kenyataan LPKP.
Seramai 18 orang ahli persatuan yang mewakili lapan buah persatuan lori di Sarawak telah hadir menyertai sesi libat urus tersebut.
Turut hadir, Pengarah LPKP Sarawak Cornelia Wong Chui dan Pengarah LPKP Sabah, Dairin Unsir.